Rabu, 27 Mei 2009

MAJLIS PELANCARAN LOGO "AN HONOUR TO SERVE" DAN "ONE GOVERMENT AT YOUR SERVICE" PERINGKAT DAERAH LAWAS





Majlis Pelancaran Logo-Logo "An Honour To Serve" dan "One Goverment At Your Service" Peringkat Daerah Lawas telah diadakan pada 27 Mei 2009 (Rabu) bertempat di Stadium Tertutup Lawas yang mana dirasmikan oleh YB Dato Henry Sum Agung. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan sebelum majlis pelancaran ialah senamrobik bersama ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kerajaan di Daerah Lawas bertempat di Gelanggang Bola Keranjang Jalan Bandar Lawas. Manakala aktiviti di Stadium Tertutup ialah Kaunter Perkhidmatan Pelanggan dan disusuli dengan persembahan Bamboo Band daripada suku kaum Lun Bawang Daerah Lawas.

Sabtu, 16 Mei 2009

CERAMAH DAN DEMONSTRASI PENCEGAHAN SERTA PEMADAMAN KEBAKARAN BAGI KAKITANGAN FELCRA SUNDAR AWAT-AWAT PLANTATION SDN BHD




Kakitangan Felcra Sundar Awat-Awat Plantation Sdn. Bhd. telah menjalani latihan pencegahan kebakaran dan demonstrasi penggunaan alat pemadam api yang diadakan di BBP Lawas pada 16 Mei 2009 (Sabtu) kira-kira jam 1500 petang. Seramai 7 orang daripada mereka adalah mewakili bahagian masing-masing telahpun berjaya menjalani latihan tersebut. Kemahiran yang telah diperolehi itu akan dapat membantu pekerja-pekerja lain untuk mengetahui cara-cara penggunaan alat pemadam api sekiranya berlaku sebarang kecemasan menurut kata Cik Siti Azlina, Penolong Eksekutif Felcra Sundar Awat-Awat yang turut menyertai program tersebut.Dalam sesi ceramah, penekanan terhadap pencegahan kebakaran adalah diberi keutamaan kepada semua peserta yang terlibat.


Ahad, 10 Mei 2009

DEMONSTRASI MEMADAM KEBAKARAN SEMPENA HARI BERSAMA PELANGGAN DI DAERAH LAWAS

Hari bersama pelanggan anjuran Hospital Daerah Lawas sempena menyambut 40 tahun pihak hospital telah diadakan pada 9 Mei 2009 bertempat berdekatan Pasar Besar Lawas. Jabatan Bomba di mana Balai Bomba dan Penyelamat Lawas dijemput untuk menjalankan aktiviti bersama pelanggan iaitu demonstrasi memadam kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api. Seramai 8 orang pegawai bomba termasuk Ketua Balai bersama-sama menjayakan program tersebut. Sambutan amat menggalakan daripada masyarakat setempat dan pengunjung dari luar Daerah Lawas di mana mereka diberi peluang dan kesempatan untuk mencuba sendiri menggunakan alat untuk memadam kebakaran. Ini penting supaya di kalangan orang ramai mendapat kesedaran, ilmu pengetahuan dan keyakinan dalam bertindak sendiri semasa dalam kecemasan dan ianya boleh menyelamatkan nyawa dan harta benda sebelum ketibaan pasukan bomba ke tempat kejadian.

Selasa, 5 Mei 2009

OPERASI KHIDMAT KHAS

Satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta pada 2 Mei 2009 di alamat Km 16. Jalan Merapok, Lawas kira-kira jam 0906 pagi. Pasukan Bomba bergegas ke tempat kejadian dan berjaya mengeluarkan mangsa yang terperangkap.Terdapat 11 orang kesemuanya termasuk pemandu salah seorang mangsa cedera parah sementara yang lain cedera ringan dan semua mangsa terus dihantar ke Hospital Daerah Lawas. Punca kemalangan dipercayai daripada pemandu hilang kawalan sehingga menyebabkan kereta tersebut berpusing lalu terbalik di tepi jalan.

PERTANDINGAN SEPAK TAKRAW ANJURAN KSK P71 BUKIT SARI DI BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT LAWAS


Pertandingan sepak takraw anjuran Kelab Sukan Komuniti P71 Bukit Sari telah diadakan pada 1 Mac 2009 bertempat di gelanggang sepak takraw Balai Bomba dan Penyelamat Lawas. Beberapa orang pegawai bomba terlibat menjadi Ahli Jawatankuasa penganjur sukan tersebut. Sebanyak 12 pasukan telah menyertai pertandingan dan dibahagikan kepada 4 kumpulan. Juara disandang oleh pasukan Shuleeny menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM500, kedua RM300, ketiga RM200 dan tempat keempat RM100

Isnin, 4 Mei 2009

FIRE DRILL SJK CHUNG HWA LAWAS

Latihan Fire Drill telah diadakan di SJK Chung Hwa Lawas pada 29 April 2009 kira-kira jam 0900 pagi yang melibatkan 345 orang pelajar. Kakitangan sekolah termasuk guru-guru terlibat sama dalam aktiviti tersebut di mana cara-cara penggunaan alat pemadam api telah mendapat perhatian semua warga sekolah dan 9 orang pegawai bomba terlibat dalam menjayakan latihan tersebut termasuk Ketua Balai. Ini adalah kali pertama diadakan latihan seumpama ini menurut keterangan daripada Guru Besar sekolah tersebut Puan Mak Kong Bee yang mana akan meneruskan aktiviti ini dari masa ke semasa.

LAWATAN PASUKAN KADET BOMBA SMK MERAPOK KE BBP LAWAS


Lawatan sambil belajar Pasukan Kadet Bomba SMK Merapok, Lawas ke Balai Bomba dan Peneylamat Lawas adalah merupakan aktiviti yang sememangnya dirancang oleh pihak sekolah tersebut dan sekaligus melibatkan aktiviti Bahagian Latihan Balai. Aktiviti yang dijalankan sepanjang lawatan itu ialah Kawad Kaki, Kawad Membentang Hos, Flying Fox, tayangan video dan sesi bergambar. Seramai 40 orang ahli Pasukan Kadet Bomba dan 3 orang guru pengiring yang sama-sama menjayakan lawatan tersebut.


PAMERAN SEMPENA PELANCARAN KARNIVAL GENERASI BEBAS JENAYAH 2009 PERINGKAT BAHAGIAN LIMBANG

Satu pameran sempena Karnival Generasi Bebas Jenayah yang telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Merapok, Lawas yang mana dirasmikan oleh YB Datuk Henry Sum Agung pada 4 April 2009. Beberapa agensi kerajaan terlibat dalam pameran tersebut dan ianya dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat setempat khasnya belia-belia serta penduduk Kampung Merapok. Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak ketinggalan dalam mempamerkan peralatan, gambar-ganbar dan mengedarkan risalah-risalah yang mana mendapat sambutan ramai. YB Datuk Henry Sum Agung sempat melawat ke pondok pameran untuk sama-sama meninjau dan beliau mencadangkan supaya setiap rumah diadakan alat pemadam api untuk tujuan pencegahan dan keselamatan agar tindakan awal dapat dilakukan sebelum ketibaan Pasukan Bomba dan Penyelamat ke tempat kejadian.


Ahad, 3 Mei 2009

PENERIMAAN PINGAT CEMERLANG BOMBA 2008


Satu Majlis Penyampaian Pingat Cemerlang Bomba Tahun 2008 telah diadakan di padang kawad Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng yang dirasmikan oleh Yang Setia Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak Tuan Ahmad bin Shahabuddin. Seramai 17 orang pegawai yang terlibat dalam penerimaan tersebut yang terdiri daripada Zon Miri dan Bintulu di mana 4 orang pegawai mewakili Balai Bomba dan Penyelamat Lawas. Selepas majlis penyampaian pingat, sesi dialog bersama YS Pengarah diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng. Tahniah diucapkan !!!

LAWATAN TADIKA PERPADUAN DAERAH LAWAS KE BBP LAWAS




Pada 28 Mac 2009 kira-kira jam 0830 pagi, satu rombongan daripada Tadika Perpaduan Daerah Lawas telah membuat lawatan ke Balai Bomba dan Penyelamat Lawas yang melibatkan 200 orang murid termasuk ibubapa dan guru pengiring yang terdiri daripada 7 buah sekolah tadika di Daerah Lawas. Antara aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan ialah seperti tayangan video berkaitan pencegahan kebakaran di rumah kediaman, demonstrasi kawad memadam kebakaran oleh anggota BBP Lawas, demonstrasi penggunaan alat pemadam api, persembahan menyelamat dari bangunan tinggi ( Repailling ) dan sesi bergambar. Objektif lawatan tersebut, sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran kepada murid-murid tadika yang akan melangkah persekolahan ke tahun satu di samping kesedaran kepada ibubapa tentang pencegahan kebakaran dan memberikan pendekatan kepada masyarakat tentang peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.






OPERASI KHIDMAT KHAS

Operasi Khidmat Khas pada 25 Mac 2009 kira-kira jam 1650 petang di mana kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan di alamat Km 1 Jalan Trusan, Lawas. Mangsa berjaya dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Daerah Lawas. Mengikut keterangan mangsa/pemandu van, punca kemalangan adalah daripada kesilapan pemandu kenderaan yang berada di hadapannya kerana tidak memberikan isyarat untuk membelok semasa masuk simpang sehingga beliau cuba memotong dan hilang kawalan apabila kenderaan di hadapan membelok serta merta menyebabkan kedua-dua kenderaan jatuh ke dalam longkang.

PERARAKAN SEMPENA MAULIDURRASUL 1430H PERINGKAT DAERAH LAWAS

Perarakan Sempena Maulidurrasul 1430H Peringkat Daerah Lawas diadakan pada 15 Mac 2009 dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lawas telah menyertai perarakan tersebut dan sekaligus menyertai pertandingan sepanduk antara jabatan. Namun pada tahun 2009 jabatan kita tidak dapat mengekalkan kejuaraan yang telah disandang pada tahun 2008 di antara jabatan di Daerah Lawas dengan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM 400 beserta piala. Komitmen di kalangan anggota kita dalam perarakan tersebut menambahkan lagi kerjasama serta sokongan untuk meneruskan aktiviti keagamaan dari masa ke semasa.Tahniah diucapkan.

PERTANDINGAN BADMINTON TERTUTUP BBP LAWAS



Pertandingan Badminton Tertutup Balai Bomba dan Penyelamat Lawas telah diadakan di Stadium Tertutup Lawas pada 21 Februari, 2009 yang mana aktiviti seperti ini memberikan kesan positif di kalangan semua pegawai selain daripada bersukan ataupun beriadah tetapi ianya mengeratkan lagi sillaturahim dan kemesraan di antara semua pegawai. Pertandingan ini disertai dengan 13 bergu dan pemenang sehingga tempat keempat yang menerima hadiah berupa baju T sukan. Johan telah dimiliki oleh bergu pasangan PB Asri dan PB Mohd Syanizam Fadlin yang telah menewaskan bergu pasangan PB Hilmy dan PB Mohd Hadzli. Sementara tempat ketiga disandang oleh PB Alim dan PB Saiful Dzamree yang telah menewaskan bergu pasangan PB Liew dan PB Matusop.

PERHIMPUNAN BULANAN BBP LAWAS

Perhimpunan Bulanan Peringkat Balai telah dijalankan pada 13 Februari, 2009 yang mana semua anggota terlibat seramai 26 orang. Teks ucapan YAS Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Dato' Hamzah Bin Abu Bakar telah dibacakan oleh YS Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Lawas En. Zaki Bin Hussin di kawasan Padang Kawad BBP Lawas.
Teks ucapan lebih menekankan kepada disiplin pegawai, penggunaan dan penjagaan peralatan dengan baik, multi skill pegawai perlu ditingkatkan dari masa ke semasa dan struktur organisasi jabatan yang ada sekarang akan diisi secara berperingkat
.

BANJIR DI DAERAH LAWAS 6 FEBRUARI 2009

Banjir melanda Daerah Lawas pada 6 Februari 2009 yang mana melibatkan kawasan kampung, sekolah, kawasan perumahan dan bandar Lawas. Bilik gerakan operasi banjir telah menerima sebanyak 22 panggilan banjir melibatkan kawasan yang berasingan.
Walau bagaimanapun pasukan bomba mula menerima panggilan banjir kira-kira jam 0130 pagi pada 6.2.2009 di SK Long Tuma dan diikuti dengan di lain-lain kawasan.Semua anggota yang off duty dikerah untuk hadir bertugas untuk menangani operasi supaya berjalan dengan lancar. Mangsa yang selamat dipindah berjumlah 180 orang melibatkan 42 keluarga. Kesemuanya dipindah ke tempat perpindahan di Kuarters Pejabat Daerah Lawas dan SMK Lawas.







SEKAPUR SIRIH

Assalamualaikum dan salam perpaduan kepada semua warga Bomba dan Penyelamat Malaysia. Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izinNya jua dapat kami warga bomba BBP Lawas menerbitkan laman blog yang memberikan info yang melibatkan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di dalam dan di luar balai.
Dengan adanya blog ini, diharapkan tuan/puan dapat info untuk mengetahui yang berlaku di BBP Lawas dan kami ingin berkongsi pandangan dengan siapa saja untuk memberikan komen dan saranan yang boleh membantu meningkatkan lagi prestasi dan kualiti dalam penerbitan blog ini.Sila hantar sebarang cadangan ke email [ bombalawas@yahoo.com.my ] Sekian terima kasih.

BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT LAWAS


Balai Bomba dan Penyelamat Lawas
Jalan Gaya 98850 Lawas
Sarawak
Telefon 085-284962
Faks 085-284189