Jumaat, 28 Ogos 2009

MAJLIS BERBUKA PUASA DAN MAJLIS PERPISAHAN PEGAWAI BOMBA PEIE @ NOH BIN ASSIM




Pada 27 Ogos, 2009 bersamaan 6 Ramadhan 1430H telah diadakan satu Majlis Berbuka Puasa dan Majlis Perpisahan bagi Pegawai Bomba Peie @ Noh Bin Assim yang akan berpindah tempat bertugas dari BBP Lawas ke JBPM Sabah yang berkuatkuasa pada 1 September, 2009. Dalam Majlis tersebut YS Ketua Balai BBP Lawas En Zaki Bin Hussin memberikan ucapan aluan kepada semua yang hadir dan diikuti ucapan daripada En. Peie @ Noh Bin Assim sebagai tetamu yang diraikan. Sebelum majlis bersurai diadakan penyampaian cenderahati dan sesi bergambar sebagai tanda kenang-kenangan.

PASUKAN BANTUAN OPERASI JEREBU DARI SABAH KE MIRI SARAWAK



Pada 9 Ogos, 2009 kira-kira jam 2130 malam Pasukan Bantuan Operasi Jerebu dari Sabah seramai 50 orang telah singgah di BBP Lawas untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke Miri dalam memberikan bantuan keanggotaan untuk operasi jerebu di Miri. Pada keesokkan harinya mereka bertolak dari BBP Lawas ke Limbang dengan lima buah kenderaan melalui sempadan Imigresen Negara Brunei Darussalam yang mana perjalanan tersebut melalui dua buah feri dan mengambil masa kira-kira 2 jam untuk sampai ke Limbang . Syabas dan tahniah kepada pasukan bantuan dari JBPM Sabah.

Rabu, 26 Ogos 2009

BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT LAWAS DIBEKALKAN JENTERA BARU

Balai Bomba dan Penyelamat Lawas telah dibekalkan jentera baru jenis Atego Mercedes daripada Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri. Pada 24 Julai, 2009 kira-kira jam 1900 malam penghantaran dan penyerahan telahpun dilaksanakan dengan lancar yang mana YS Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Tuan Law Poh Kiong serta rombongan turut bersama mengiringi penghantaran jentera tersebut yang dipandu oleh PB Azhar dan PB Liew iaitu dari Ibu Pejabat Kuching setelah menjalani kursus pemanduan selama dua hari. Penghantaran jentera baru ke BBP Lawas adalah merupakan satu sejarah bagi kami warga BBP Lawas yang mana sejak 1996 BBP Lawas mula beroperasi, belum pernah dibekalkan jentera baru. Dengan adanya jentera baru ini akan lebih meyakinkan lagi setiap operasi pemadaman dan penyelamatan. Ucapan terima kasih kepada YS Pengarah Negeri dan YS Penolong Pengarah Operasi Negeri di atas sokongan dan kelulusan penghantaran jentera baru tersebut ke BBP Lawas.

CERAMAH PENCEGAHAN KEBAKARAN DI BANGUNAN KERAJAAN DAERAH LAWAS





Pada 02 Julai, 2009 satu aktiviti ceramah Pencegahan Kebakaran Di Bangunan-Bangunan Kerajaan diadakan di Bilik Mesyuarat Bangunan Wisma Persekutuan, Lawas. Ceramah tersebut melibatkan ketua-ketua jabatan di Daerah Lawas khasnya kepada pegawai-pegawai di bangunan Wisma Persekutuan Lawas yang mana disertai kira-kira 35 orang pegawai. Turut hadir ialah En Julaihi Dison daripada Jabatan JPJ, Lawas merangkap Timbalan Pengerusi Jawatan Keselamatan Bangunan Wisma Persekutuan, Lawas juga sebagai tetamu jemputan. Ceramah telah disampaikan oleh YS Ketua Balai BBP Lawas En Zaki Hussin yang mana lebih menekankan tentang cara-cara pengungsian bangunan apabila menghadapi situasi kecemasan atau kebakaran. Di samping itu penjelasan tentang peralatan menentang kebakaran yang terdapat di bangunan tersebut turut diberi perhatian dan sesi ceramah diakhiri dengan sesi dialog kepada semua peserta yang hadir.

Jumaat, 7 Ogos 2009

CERAMAH DAN DEMONSTRASI DI SK LUAGAN SUNDAR LAWAS




Bertempat di SK Luagan, Sundar Lawas pada 12 Julai, 2009 (Ahad) Program Info Bestari Daerah Lawas dengan kerjasama Jabatan Penerangan Daerah Lawas diteruskan dengan aktiviti-aktiviti yang memberi pendekatan kepada penduduk kampung khasnya Kampung Luagan, Sundar di mana Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lawas yang terdiri daripada beberapa orang pegawai telah mengadakan ceramah pencegahan kebakaran dan demonstrasi memadam kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api. Penglibatan penduduk kampung seramai 120 orang menunjukkan komitmen yang diberikan amat menggalakan. Hasil daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan telah memberi kesedaran kepada semua yang hadir betapa pentingnya pencegahan kebakaran dan tindakan awal yang perlu diambil dalam menghadapi situasi kecemasan sebelum ketibaan pasukan bomba ke tempat kejadian.



CERAMAH DAN DEMONSTRASI DI KAMPUNG TANG ITONG, LAWAS








Pada 9 Julai, 2009 (Khamis) bertempat Kampung Tang Itong, Lawas adalah antara kampung yang dilawati untuk meneruskan Program Info Bestari Lawas yang mana seramai 150 orang penduduk kampung telah hadir bagi mengikuti aktiviti seperti yang dirancang. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lawas telah mengadakan demonstrasi memadam kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api di samping memberi ceramah pencegahan kebakaran. Melalui program ini, ianya telah memberikan kesedaran kepada penduduk kampung dan orang ramai di mana pencegahan kebakaran adalah penting dalam menjaga keselamatan nyawa dan harta benda.

Khamis, 6 Ogos 2009

CERAMAH DAN DEMONSTRASI SEMPENA PROGRAM INFO BESTARI DAERAH LAWAS DI KAMPUNG LONG TUAN, LAWAS








Pada 8 Julai, 2009 (Rabu) bertempat di Kampung Long Tuan, Lawas telah diadakan Program Info Bestari Daerah Lawas, dengan kerjasama Jabatan Penerangan Daerah Lawas di mana Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lawas dijemput untuk menjayakan program tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan ialah ceramah pencegahan kebakaran dan demonstrasi memadam kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api oleh beberapa orang pegawai bomba dan memberi pendedahan dan pendekatan kepada penduduk kampung yang menghadirinya kira-kira 90 orang. Tetamu jemputan Temenggung Paris Kaya sempat membuat pemadaman dalam demonstrasi tersebut yang mana sedikit sebanyak ramai di kalangan penduduk kampung maupun masyarakat setempat mengetahui tentang pencegahan kebakaran dan tindakan yang perlu diambil apabila dalam menghadapi situasi kecemasan atau kebakaran.

Khamis, 16 Julai 2009

CERAMAH DAN DEMONSTRASI DI SK KAMPUNG SEBERANG KUALA LAWAS












Ceramah pencegahan kebakaran, cara-cara menyelamat mangsa dan demonstrasi penggunaan alat pemadam api adalah antara latihan yang ditunjukkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia , Lawas kepada murid-murid dan guru-guru di SK Kampung Seberang Kuala Lawas pada 01 Julai 2009 kiri-kira jam 0900 pagi yang melibatkan seramai 114 orang murid termasuk guru. Aktiviti program ini sememangnya diadakan setiap tahun mengikut jadual yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan juga permohonan daripada pihak sekolah. Murid-murid dan guru-guru berpeluang untuk mencuba memadam kebakaran di peringkat awal dengan menggunakan alat pemadam api supaya dapat bertindak sebelum ketibaan pihak bomba apabila berlakunya kecemasan. Pengungsian bangunan juga diterangkan kepada pihak sekolah supaya dapat melepaskan diri sekiranya dalam situasi kecemasan.




Sabtu, 27 Jun 2009

LATIHAN PENGGUNAAN 'DESKTOP DAN VEHICULAR GIRN' JBPM ANJURAN SAPURA






Latihan penggunaan 'Desktop dan Vehicular GIRN' JBPM telahpun diadakan pada 26 Jun, 2009 (Jumaat) peringkat Zon Miri di Bilik Mesyuarat Zon Miri BBP Lopeng yang melibatkan 5 buah balai iaitu BBP Miri, BBP Lopeng, BBP Limbang, BBP Lawas dan BBP Marudi. Dua orang penceramah daripada pihak Sapura iaitu Encik Fahkrul dan Cik Arlina telah memberi penerangan berkaitan penggunaan Desktop dan Vehicular GIRN dengan lebih detail di samping keberkesanan alat tersebut di seluruh Malaysia khususnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Isnin, 22 Jun 2009

PERKHEMAHAN RIMUP DAN UNIT BERUNIFORM - SMK MERAPOK LAWAS 2009




Perkhemahan RIMUP dan Unit Beruniform SMK Merapok 2009 telah diadakan pada 19 hingga 21 Jun, 2009 bertempat di SMK Merapok Lawas. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lawas telah dijemput dan dilantik sebagai Kem Komander dalam tempoh 3 hari untuk mengawasi serta memantau pergerakan dan disiplin pelajar-pelajar dalam aktiviti yang dilaksanakan sepanjang program. Antara aktiviti yang diadakan dalam program tersebut ialah Flying Fox, Malam Kebudayaan, Pertandingan Kawad Kaki dan lain-lain di mana Pasukan Kadet Bomba menjadi juara Pertandingan Kawad Kaki, Ketua Platon Terbaik dan juara keseluruhan. Menurut Pengetua sekolah tersebut program ini akan diadakan setiap tahun untuk memberi galakan kepada pelajar-pelajar di samping mereka mendapat ilmu pengetahuan daripada setiap aktiviti yang dijalankan.

Rabu, 17 Jun 2009

AKTIVITI DERMA DARAH BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT LAWAS









Aktiviti Derma Darah Balai Bomba dan Penyelamat Lawas kali yang kedua untuk tahun 2009 telah diadakan pada 16 Jun 2009 dengan kerjasama pihak Hospital Daerah Lawas yang melibatkan 13 orang pegawai bomba bertempat di BBP Lawas. Aktiviti ini juga merupakan Program Perlaksanaan Sempena Hari Anggota Bomba 2009 yang mana Jabatan Bomba bersedia menyumbang kepada masyarakat untuk kepentingan bersama bertepatan dengan Moto Jabatan Bomba "SEDIA MENYELAMAT"

Rabu, 27 Mei 2009

MAJLIS PELANCARAN LOGO "AN HONOUR TO SERVE" DAN "ONE GOVERMENT AT YOUR SERVICE" PERINGKAT DAERAH LAWAS





Majlis Pelancaran Logo-Logo "An Honour To Serve" dan "One Goverment At Your Service" Peringkat Daerah Lawas telah diadakan pada 27 Mei 2009 (Rabu) bertempat di Stadium Tertutup Lawas yang mana dirasmikan oleh YB Dato Henry Sum Agung. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan sebelum majlis pelancaran ialah senamrobik bersama ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kerajaan di Daerah Lawas bertempat di Gelanggang Bola Keranjang Jalan Bandar Lawas. Manakala aktiviti di Stadium Tertutup ialah Kaunter Perkhidmatan Pelanggan dan disusuli dengan persembahan Bamboo Band daripada suku kaum Lun Bawang Daerah Lawas.

Sabtu, 16 Mei 2009

CERAMAH DAN DEMONSTRASI PENCEGAHAN SERTA PEMADAMAN KEBAKARAN BAGI KAKITANGAN FELCRA SUNDAR AWAT-AWAT PLANTATION SDN BHD




Kakitangan Felcra Sundar Awat-Awat Plantation Sdn. Bhd. telah menjalani latihan pencegahan kebakaran dan demonstrasi penggunaan alat pemadam api yang diadakan di BBP Lawas pada 16 Mei 2009 (Sabtu) kira-kira jam 1500 petang. Seramai 7 orang daripada mereka adalah mewakili bahagian masing-masing telahpun berjaya menjalani latihan tersebut. Kemahiran yang telah diperolehi itu akan dapat membantu pekerja-pekerja lain untuk mengetahui cara-cara penggunaan alat pemadam api sekiranya berlaku sebarang kecemasan menurut kata Cik Siti Azlina, Penolong Eksekutif Felcra Sundar Awat-Awat yang turut menyertai program tersebut.Dalam sesi ceramah, penekanan terhadap pencegahan kebakaran adalah diberi keutamaan kepada semua peserta yang terlibat.


Ahad, 10 Mei 2009

DEMONSTRASI MEMADAM KEBAKARAN SEMPENA HARI BERSAMA PELANGGAN DI DAERAH LAWAS

Hari bersama pelanggan anjuran Hospital Daerah Lawas sempena menyambut 40 tahun pihak hospital telah diadakan pada 9 Mei 2009 bertempat berdekatan Pasar Besar Lawas. Jabatan Bomba di mana Balai Bomba dan Penyelamat Lawas dijemput untuk menjalankan aktiviti bersama pelanggan iaitu demonstrasi memadam kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api. Seramai 8 orang pegawai bomba termasuk Ketua Balai bersama-sama menjayakan program tersebut. Sambutan amat menggalakan daripada masyarakat setempat dan pengunjung dari luar Daerah Lawas di mana mereka diberi peluang dan kesempatan untuk mencuba sendiri menggunakan alat untuk memadam kebakaran. Ini penting supaya di kalangan orang ramai mendapat kesedaran, ilmu pengetahuan dan keyakinan dalam bertindak sendiri semasa dalam kecemasan dan ianya boleh menyelamatkan nyawa dan harta benda sebelum ketibaan pasukan bomba ke tempat kejadian.

Selasa, 5 Mei 2009

OPERASI KHIDMAT KHAS

Satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta pada 2 Mei 2009 di alamat Km 16. Jalan Merapok, Lawas kira-kira jam 0906 pagi. Pasukan Bomba bergegas ke tempat kejadian dan berjaya mengeluarkan mangsa yang terperangkap.Terdapat 11 orang kesemuanya termasuk pemandu salah seorang mangsa cedera parah sementara yang lain cedera ringan dan semua mangsa terus dihantar ke Hospital Daerah Lawas. Punca kemalangan dipercayai daripada pemandu hilang kawalan sehingga menyebabkan kereta tersebut berpusing lalu terbalik di tepi jalan.

PERTANDINGAN SEPAK TAKRAW ANJURAN KSK P71 BUKIT SARI DI BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT LAWAS


Pertandingan sepak takraw anjuran Kelab Sukan Komuniti P71 Bukit Sari telah diadakan pada 1 Mac 2009 bertempat di gelanggang sepak takraw Balai Bomba dan Penyelamat Lawas. Beberapa orang pegawai bomba terlibat menjadi Ahli Jawatankuasa penganjur sukan tersebut. Sebanyak 12 pasukan telah menyertai pertandingan dan dibahagikan kepada 4 kumpulan. Juara disandang oleh pasukan Shuleeny menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM500, kedua RM300, ketiga RM200 dan tempat keempat RM100

Isnin, 4 Mei 2009

FIRE DRILL SJK CHUNG HWA LAWAS

Latihan Fire Drill telah diadakan di SJK Chung Hwa Lawas pada 29 April 2009 kira-kira jam 0900 pagi yang melibatkan 345 orang pelajar. Kakitangan sekolah termasuk guru-guru terlibat sama dalam aktiviti tersebut di mana cara-cara penggunaan alat pemadam api telah mendapat perhatian semua warga sekolah dan 9 orang pegawai bomba terlibat dalam menjayakan latihan tersebut termasuk Ketua Balai. Ini adalah kali pertama diadakan latihan seumpama ini menurut keterangan daripada Guru Besar sekolah tersebut Puan Mak Kong Bee yang mana akan meneruskan aktiviti ini dari masa ke semasa.

LAWATAN PASUKAN KADET BOMBA SMK MERAPOK KE BBP LAWAS


Lawatan sambil belajar Pasukan Kadet Bomba SMK Merapok, Lawas ke Balai Bomba dan Peneylamat Lawas adalah merupakan aktiviti yang sememangnya dirancang oleh pihak sekolah tersebut dan sekaligus melibatkan aktiviti Bahagian Latihan Balai. Aktiviti yang dijalankan sepanjang lawatan itu ialah Kawad Kaki, Kawad Membentang Hos, Flying Fox, tayangan video dan sesi bergambar. Seramai 40 orang ahli Pasukan Kadet Bomba dan 3 orang guru pengiring yang sama-sama menjayakan lawatan tersebut.


PAMERAN SEMPENA PELANCARAN KARNIVAL GENERASI BEBAS JENAYAH 2009 PERINGKAT BAHAGIAN LIMBANG

Satu pameran sempena Karnival Generasi Bebas Jenayah yang telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Merapok, Lawas yang mana dirasmikan oleh YB Datuk Henry Sum Agung pada 4 April 2009. Beberapa agensi kerajaan terlibat dalam pameran tersebut dan ianya dapat memberikan pendedahan kepada masyarakat setempat khasnya belia-belia serta penduduk Kampung Merapok. Jabatan Bomba dan Penyelamat tidak ketinggalan dalam mempamerkan peralatan, gambar-ganbar dan mengedarkan risalah-risalah yang mana mendapat sambutan ramai. YB Datuk Henry Sum Agung sempat melawat ke pondok pameran untuk sama-sama meninjau dan beliau mencadangkan supaya setiap rumah diadakan alat pemadam api untuk tujuan pencegahan dan keselamatan agar tindakan awal dapat dilakukan sebelum ketibaan Pasukan Bomba dan Penyelamat ke tempat kejadian.


Ahad, 3 Mei 2009

PENERIMAAN PINGAT CEMERLANG BOMBA 2008


Satu Majlis Penyampaian Pingat Cemerlang Bomba Tahun 2008 telah diadakan di padang kawad Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng yang dirasmikan oleh Yang Setia Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak Tuan Ahmad bin Shahabuddin. Seramai 17 orang pegawai yang terlibat dalam penerimaan tersebut yang terdiri daripada Zon Miri dan Bintulu di mana 4 orang pegawai mewakili Balai Bomba dan Penyelamat Lawas. Selepas majlis penyampaian pingat, sesi dialog bersama YS Pengarah diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng. Tahniah diucapkan !!!

LAWATAN TADIKA PERPADUAN DAERAH LAWAS KE BBP LAWAS




Pada 28 Mac 2009 kira-kira jam 0830 pagi, satu rombongan daripada Tadika Perpaduan Daerah Lawas telah membuat lawatan ke Balai Bomba dan Penyelamat Lawas yang melibatkan 200 orang murid termasuk ibubapa dan guru pengiring yang terdiri daripada 7 buah sekolah tadika di Daerah Lawas. Antara aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan ialah seperti tayangan video berkaitan pencegahan kebakaran di rumah kediaman, demonstrasi kawad memadam kebakaran oleh anggota BBP Lawas, demonstrasi penggunaan alat pemadam api, persembahan menyelamat dari bangunan tinggi ( Repailling ) dan sesi bergambar. Objektif lawatan tersebut, sedikit sebanyak dapat memberikan kesedaran kepada murid-murid tadika yang akan melangkah persekolahan ke tahun satu di samping kesedaran kepada ibubapa tentang pencegahan kebakaran dan memberikan pendekatan kepada masyarakat tentang peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.