Isnin, 5 Disember 2011

JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA DIJEMPUT MENJAYAKAN PROGRAM MAJLIS BERKHATAN BERAMAI-RAMAI





Pada 28 November 2011 kira-kira jam 1430 petang satu Program Berkhatan Beramai-Ramai dan Kem Kesihatan Kuala Lawas Anjuran oleh PERKIP Cawangan Lawas diadakan bertempat di Dewan Serbaguna Kpg Noor Islam Kuala Lawas. Majlis tersebut telah dihadiri oleh YB Datuk Amar Hj Awang Tengah Bin Ali Hassan Menteri Perancangan Sumber & Alam Sekitar II Menteri Kemudahan Awam & Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak.
Antara aturcara program ialah majlis bersiram untuk peserta yang akan berkhatan di mana Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dijemput untuk menjayakan majlis tersebut dan jentera bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Lawas digunakan untuk perasmian aktiviti tersebut dan dilakukan oleh YB Datuk Amar Hj Awang Tengah Bin Ali Hassan. Majlis bersiram telah mendapat perhatian penduduk kampung serta wartawan yang merupakan gimik perasmian program berkhatan beramai-ramai.

Khamis, 1 Disember 2011

LAWATAN KETUA PENGARAH JBPM KE BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT LAWAS PADA 19 NOVEMBER 2011




   Pada 19 November 2011 satu Lawatan Kerja YAS Dato' Wan Mohd Bin Haji Ibrahim Ketua Pengarah JBPM ke Balai Bomba dan Penyelamat Lawas berjalan lancar di mana ketibaan YAS Dato' telah disambut oleh YS Ketua Balai BBP Lawas En Zaki Hussin dan seterusnya menerima tabik hormat daripada Kawalan Quarter Guard BBP Lawas.
     Antara aturcara majlis ialah ucapan aluan dan taklimat daripada YS Ketua Balai, ucaptama daripada YAS Dato' Ketua Pengarah, Penyampaian Pingat Cemerlang Bomba kepada 9 orang penerima, sesi dialog bersama anggota, penyampai cenderahati dan sesi bergambar.
     Sebelum berangkat balik YAS Dato' diberi penghormatan dengan menerima tabik hormat daripada Kawalan Quarter Guard BBP Lawas diketuai oleh PBK II Rary Ak. Binjie. Turut menghadiri majlis tersebut ialah YS Pengarah JBPM Negeri Sarawak PKPjB Nor Hisham Bin Mohamad, PPjB Sobrie Bin Basiran Pen Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Korporat JBPM dan PgB Anuar Shadzat Bin Merdzuki Ketua Zon Limbang

LAWATAN KELAB 3K SK PUNANG KE BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT LAWAS PADA 14.11.2011




Lawatan sambil belajar Kelab 3K SK Punang kali yang kedua ke Balai Bomba dan Penyelamat Lawas telah diadakan pada 14 November 2011 yang melibatkan seramai 25 orang murid Pra Sekolah dan 2 orang guru pengiring kira-kira jam 0900 hingga 1000 pagi. Aktiviti yang dijalankan sepanjang lawatan ialah Demonstrasi Pasukan Operasi menerima panggilan kecemasan dan menghadiri operasi pemadaman kebakaran, penglibatan Ahli Kelab 3K dalam penggunaan peralatan pemadaman, menyertai pertandingan mewarna dan penyampaian hadiah kepada pemenang serta penerima saguhati. Aktiviti diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai.

PERTANDINGAN MEWARNA KELAB 3K SK BATU LIMA LAWAS


Pada 11.11.11 satu pertandingan mewarna telah diadakan di SK Batu Lima Lawas di mana melibatkan Ahli Kelab 3K seramai 20 orang murid Pra Sekolah dan aktiviti dijalankan pada jam 0900 pagi hingga 1000 pagi. Matlamat Jabatan adalah untuk memupuk dan memberi pendedahan yang asas kepada kanak-kanak tentang bahaya dan keselamatan kebakaran agar mereka dapat memahami risiko kebakaran dan menghindarinya. Aktiviti diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang dan saguhati kepada setiap peserta yang mengambil bahagian. Turut hadir ialah Penolong Kanan I Cikgu Azmi, YS Ketua Balai BBP Lawas En Zaki, PB Bahrum dan PB Hilmy sebagai hakim pertandingan.

Isnin, 14 November 2011

AKTIVITI PERTANDINGAN MEWARNA KELAB 3K SK PUSAT LAWAS


Pada 8 November, 2011 satu aktiviti pertandingan mewarna bagi Kelab 3K SK Pusat Lawas telah diadakan di Dewan SK Lawas di mana seramai 40 orang murid Pra Sekolah mengambil bahagian. Pertandingan tersebut dijalankan bermula jam 0800 pagi hingga 0900 pagi dan hadiah disediakan oleh BBP Lawas untuk pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga manakala saguhati juga diberikan kepada semua murid yang mengambil bahagian di samping minuman serta makanan ringan disediakan sepanjang pertandingan dijalankan. Penyampaian hadiah dilakukan oleh Penolong Kanan I SK Pusat Encik Bakeri dan diiringi oleh Ketua Balai BBP Lawas Encik Zaki Hussin. Hakim terdiri daripada PB Bahrum, PB Mohd Hadzli dan PB Hilmy.

Ahad, 13 November 2011

AKTIVITI PASUKAN KESELAMATAN KEBAKARAN

Sempena Kempen Minggu Keselamatan, aktiviti ceramah dan pertandingan kawad membentang hos dan memadam kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api yang melibatkan Pasukan Keselamatan Kebakaran Lawas Sesco Sdn Bhd telah diadakan di Lawas Power Station Jalan Pulau Salam, Lawas pada 24 Oktober, 2011 bermula jam 0900 hingga 1200 tengahari. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari BBP Lawas telah dijemput untuk sesi ceramah dan mengadili pertandingan kawad membentang hos 300 kaki 1 nozel.
Seramai 50 orang pekerja Sesco Daerah Lawas dan Limbang terlibat dalam menghadiri sesi ceramah dan pertandingan kawad tersebut.
- Enam pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan kawad membentang hos [5 orang setiap pasukan]
- Enam pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api [2 orang setiap pasukan]
Secara keseluruhannya Pasukan Keselamatan Kebakaran yang terlibat telah menunjukkan komitmen dan semangat dalam mempelajari ilmu kebombaan serta berjaya melaksanakan kawad di samping dapat membuat pemadaman dengan cekap dan pantas. Tahniah diucapkan. 

Ahad, 23 Oktober 2011

PERLAKSANAAN ' TEST CALL ' KEBAKARAN RUMAH DI KAMPUNG MASJID AWAT-AWAT JALAN TRUSAN, 98850 LAWAS

Ujian 'Test Call' kebakaran rumah kediaman di alamat Kampung Masjid Awat-Awat telah diadakan pada 13 Oktober,2011. Bilik kawalan BBP Lawas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.35 petang daripada YS Ketua Zon Limbang PgB Anuar Shadzat Bin Merdzuki. Jarak dari balai ke tempat kejadian adalah kira-kira 35 kilometer dan pasukan operasi telah mengambil masa lebih kurang 54 minit untuk sampai memulakan pemadaman sehingga pancutan pertama keluar. Hasil daripada laporan tersebut beberapa perkara perlu diambil perhatian antaranya ialah jarak perjalanan, kemudahan untuk menurunkan bot menyelamat dan keadaan pasang surut air. Walau bagaimanapun kita telah menerangkan kepada penduduk kampung tentang keadaan yang sebenarnya di mana halangan yang telah dihadapi semasa latihan dijalankan. Oleh yang demikian kita bercadang supaya diadakan penubuhan Pasukan Bomba Sukarela di kampung tersebut bagi membantu jabatan bomba dalam menghadapi sebarang kecemasan untuk tindakan awal sebelum tibanya pasukan bomba.