Pada 27 Ogos, 2009 bersamaan 6 Ramadhan 1430H telah diadakan satu Majlis Berbuka Puasa dan Majlis Perpisahan bagi Pegawai Bomba Peie @ Noh Bin Assim yang akan berpindah tempat bertugas dari BBP Lawas ke JBPM Sabah yang berkuatkuasa pada 1 September, 2009. Dalam Majlis tersebut YS Ketua Balai BBP Lawas En Zaki Bin Hussin memberikan ucapan aluan kepada semua yang hadir dan diikuti ucapan daripada En. Peie @ Noh Bin Assim sebagai tetamu yang diraikan. Sebelum majlis bersurai diadakan penyampaian cenderahati dan sesi bergambar sebagai tanda kenang-kenangan.
Jumaat, 28 Ogos 2009
PASUKAN BANTUAN OPERASI JEREBU DARI SABAH KE MIRI SARAWAK
Pada 9 Ogos, 2009 kira-kira jam 2130 malam Pasukan Bantuan Operasi Jerebu dari Sabah seramai 50 orang telah singgah di BBP Lawas untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke Miri dalam memberikan bantuan keanggotaan untuk operasi jerebu di Miri. Pada keesokkan harinya mereka bertolak dari BBP Lawas ke Limbang dengan lima buah kenderaan melalui sempadan Imigresen Negara Brunei Darussalam yang mana perjalanan tersebut melalui dua buah feri dan mengambil masa kira-kira 2 jam untuk sampai ke Limbang . Syabas dan tahniah kepada pasukan bantuan dari JBPM Sabah.
Rabu, 26 Ogos 2009
BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT LAWAS DIBEKALKAN JENTERA BARU
Balai Bomba dan Penyelamat Lawas telah dibekalkan jentera baru jenis Atego Mercedes daripada Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Negeri. Pada 24 Julai, 2009 kira-kira jam 1900 malam penghantaran dan penyerahan telahpun dilaksanakan dengan lancar yang mana YS Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Tuan Law Poh Kiong serta rombongan turut bersama mengiringi penghantaran jentera tersebut yang dipandu oleh PB Azhar dan PB Liew iaitu dari Ibu Pejabat Kuching setelah menjalani kursus pemanduan selama dua hari. Penghantaran jentera baru ke BBP Lawas adalah merupakan satu sejarah bagi kami warga BBP Lawas yang mana sejak 1996 BBP Lawas mula beroperasi, belum pernah dibekalkan jentera baru. Dengan adanya jentera baru ini akan lebih meyakinkan lagi setiap operasi pemadaman dan penyelamatan. Ucapan terima kasih kepada YS Pengarah Negeri dan YS Penolong Pengarah Operasi Negeri di atas sokongan dan kelulusan penghantaran jentera baru tersebut ke BBP Lawas.
CERAMAH PENCEGAHAN KEBAKARAN DI BANGUNAN KERAJAAN DAERAH LAWAS
Pada 02 Julai, 2009 satu aktiviti ceramah Pencegahan Kebakaran Di Bangunan-Bangunan Kerajaan diadakan di Bilik Mesyuarat Bangunan Wisma Persekutuan, Lawas. Ceramah tersebut melibatkan ketua-ketua jabatan di Daerah Lawas khasnya kepada pegawai-pegawai di bangunan Wisma Persekutuan Lawas yang mana disertai kira-kira 35 orang pegawai. Turut hadir ialah En Julaihi Dison daripada Jabatan JPJ, Lawas merangkap Timbalan Pengerusi Jawatan Keselamatan Bangunan Wisma Persekutuan, Lawas juga sebagai tetamu jemputan. Ceramah telah disampaikan oleh YS Ketua Balai BBP Lawas En Zaki Hussin yang mana lebih menekankan tentang cara-cara pengungsian bangunan apabila menghadapi situasi kecemasan atau kebakaran. Di samping itu penjelasan tentang peralatan menentang kebakaran yang terdapat di bangunan tersebut turut diberi perhatian dan sesi ceramah diakhiri dengan sesi dialog kepada semua peserta yang hadir.
Jumaat, 7 Ogos 2009
CERAMAH DAN DEMONSTRASI DI SK LUAGAN SUNDAR LAWAS
Bertempat di SK Luagan, Sundar Lawas pada 12 Julai, 2009 (Ahad) Program Info Bestari Daerah Lawas dengan kerjasama Jabatan Penerangan Daerah Lawas diteruskan dengan aktiviti-aktiviti yang memberi pendekatan kepada penduduk kampung khasnya Kampung Luagan, Sundar di mana Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lawas yang terdiri daripada beberapa orang pegawai telah mengadakan ceramah pencegahan kebakaran dan demonstrasi memadam kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api. Penglibatan penduduk kampung seramai 120 orang menunjukkan komitmen yang diberikan amat menggalakan. Hasil daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan telah memberi kesedaran kepada semua yang hadir betapa pentingnya pencegahan kebakaran dan tindakan awal yang perlu diambil dalam menghadapi situasi kecemasan sebelum ketibaan pasukan bomba ke tempat kejadian.
CERAMAH DAN DEMONSTRASI DI KAMPUNG TANG ITONG, LAWAS
Pada 9 Julai, 2009 (Khamis) bertempat Kampung Tang Itong, Lawas adalah antara kampung yang dilawati untuk meneruskan Program Info Bestari Lawas yang mana seramai 150 orang penduduk kampung telah hadir bagi mengikuti aktiviti seperti yang dirancang. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lawas telah mengadakan demonstrasi memadam kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api di samping memberi ceramah pencegahan kebakaran. Melalui program ini, ianya telah memberikan kesedaran kepada penduduk kampung dan orang ramai di mana pencegahan kebakaran adalah penting dalam menjaga keselamatan nyawa dan harta benda.
Khamis, 6 Ogos 2009
CERAMAH DAN DEMONSTRASI SEMPENA PROGRAM INFO BESTARI DAERAH LAWAS DI KAMPUNG LONG TUAN, LAWAS
Pada 8 Julai, 2009 (Rabu) bertempat di Kampung Long Tuan, Lawas telah diadakan Program Info Bestari Daerah Lawas, dengan kerjasama Jabatan Penerangan Daerah Lawas di mana Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Lawas dijemput untuk menjayakan program tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan ialah ceramah pencegahan kebakaran dan demonstrasi memadam kebakaran dengan menggunakan alat pemadam api oleh beberapa orang pegawai bomba dan memberi pendedahan dan pendekatan kepada penduduk kampung yang menghadirinya kira-kira 90 orang. Tetamu jemputan Temenggung Paris Kaya sempat membuat pemadaman dalam demonstrasi tersebut yang mana sedikit sebanyak ramai di kalangan penduduk kampung maupun masyarakat setempat mengetahui tentang pencegahan kebakaran dan tindakan yang perlu diambil apabila dalam menghadapi situasi kecemasan atau kebakaran.
Langgan:
Catatan (Atom)