Ujian 'Test Call' kebakaran rumah kediaman di alamat Kampung Masjid Awat-Awat telah diadakan pada 13 Oktober,2011. Bilik kawalan BBP Lawas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.35 petang daripada YS Ketua Zon Limbang PgB Anuar Shadzat Bin Merdzuki. Jarak dari balai ke tempat kejadian adalah kira-kira 35 kilometer dan pasukan operasi telah mengambil masa lebih kurang 54 minit untuk sampai memulakan pemadaman sehingga pancutan pertama keluar. Hasil daripada laporan tersebut beberapa perkara perlu diambil perhatian antaranya ialah jarak perjalanan, kemudahan untuk menurunkan bot menyelamat dan keadaan pasang surut air. Walau bagaimanapun kita telah menerangkan kepada penduduk kampung tentang keadaan yang sebenarnya di mana halangan yang telah dihadapi semasa latihan dijalankan. Oleh yang demikian kita bercadang supaya diadakan penubuhan Pasukan Bomba Sukarela di kampung tersebut bagi membantu jabatan bomba dalam menghadapi sebarang kecemasan untuk tindakan awal sebelum tibanya pasukan bomba.
Ahad, 23 Oktober 2011
AKTIVITI MENDERMA DARAH BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT LAWAS 2011
Derma darah merupakan salah satu aktiviti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Pada 30 September, 2011 pihak Hospital Daerah Lawas menjalankan aktiviti derma darah di Balai Bomba dan Penyelamat Lawas bagi menambah keperluan Tabung Darah Hospital Daerah Lawas setiap tiga bulan sekali. Anggota yang menderma adalah di kalangan yang 'off duty' sahaja supaya mereka dapat berehat selepas menderma.
KEBAKARAN RUMAH KEDIAMAN DI KAMPUNG TAMANGIS JALAN GAYA, 98850 LAWAS PADA 28.09.2011 JAM 07.14 PAGI
Kebakaran rumah kediaman di alamat Kampung Tamangis Jalan Gaya, 98850 Lawas telah berlaku pada 28 September, 2011 di mana pihak bomba menerima panggilan kira-kira jam 07.14 pagi. Kebakaran melibatkan sebuah rumah kediaman dua tingkat yang mempunyai tiga keluarga dan seramai 22 orang kesemuanya. Walau bagaimanapun semasa kejadian hanya lima orang sahaja yang berada di rumah tersebut iaitu tiga orang surirumah dan dua orang anak kecil. Kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke rumah bersebelahan dan tiada mangsa yang cedera. Pasukan Bomba yang terdiri daripada lapan orang anggota menjalankan operasi pemadaman dengan mendapatkan sumber air daripada parit di kawasan tersebut dengan menggunakan pam angkut sementara penggunaan air daripada tangki jentera digunakan untuk tindakan awal. Punca kebakaran dipercayai daripada api lilin dan kerugian dianggarkan berjumlah RM180,000.00.
LATIHAN PENGUKUHAN RTAT SIRI 1/2011 DI BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT LAWAS PADA 19 HINGGA 26 SEPTEMBER, 2011
Latihan Pengukuhan RTAT anjuran Akedemi JBPM Negeri Sarawak Siri 1/2011 telah diadakan di BBP Lawas bermula pada 19 hingga 26 September, 2011. Jurulatih yang terlibat ialah Tn Melvin Amuk, En Haron Jenai dan En Hamizan. Peserta kursus melibatkan semua pegawai dan anggota di BBP Lawas dan latihan tersebut telah berjaya dilaksanakan tanpa sebarang halangan. Walau bagaimanapun latihan ini juga memberikan kesan positif kepada semua peserta kerana tahap keyakinan semakin meningkat berbanding sebelum ini apabila latihan yang dijalankan mengikut shif iaitu pasukan masing-masing di samping penggunaan peralatan yang lengkap. Kursus diakhiri dengan latihan simulasi yang mana dijalankan di luar kawasan balai dan melibatkan tiga agensi utama iaitu PDRM, Hospital dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam menangani situasi pengendalian satu kes kemalangan jalanraya di alamat Simpang Tiga Jalan Gaya, Lawas yang melibatkan sebuah kereta terbabas disebabkan hilang kawalan dan terdapat tiga orang mangsa tersepit dan cedera parah. Sebelum bersurai kita mengadakan 'post moterm' dan perjumpaan bersama agensi yang terlibat dan kita mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM, Hospital dan pihak media di atas kerjasama yang diberikan bagi menjayakan latihan simulasi tersebut yang mana masing-masing mempunyai peranan dalam melakukan gerak kerja semasa menghadapi sesuatu kes atau kejadian.
PERLAKSANAAN AUDIT KUALITI DALAMAN JBPM NEGERI SARAWAK DI BBP LAWAS
Pelaksanaan Audit Kualiti Dalaman Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak diadakan pada 23 September,2011 di Balai Bomba dan Penyelamat Lawas. Auditor diketuai oleh PgKB I Mohd Zin Bin Salleh dibantu PgB Jaafar Sidek Bin Ali dan PKPgB Yuszaimi Hairrul Bin Juatan. Pengauditan berjalan dengan lancar yang dihadiri oleh YS Ketua Zon Limbang, YS Ketua Balai BBP Lawas dan pegawai yang berkenaan.
Sabtu, 22 Oktober 2011
MAJLIS RAMAH TAMAH AIDIL FITRI PERINGKAT ZON LIMBANG 17 SEPTEMBER, 2011
Majlis Ramah Tamah Aidil Fitri Peringkat Zon Limbang telah diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat Lawas pada 17 September, 2011 di mana telah dihadiri oleh YS Ketua Zon Limbang PgB Anuar Shadzat Bin Merdzuki serta keluarga, warga bomba BBP Limbang dan warga bomba BBP Lawas. Majlis Ramah Tamah Peringkat Zon Limbang julung kali diadakan dan majlis tersebut telah berjalan dengan lancar yang mana jawatankuasa pengelola terdiri daripada ahli PERISMA dan PESKEB BBP Lawas. Aturcara majlis melibatkan ucapan aluan oleh Ketua Zon Limbang dan Ketua Balai BBP Lawas, pemberian duit raya kepada anak-anak warga bomba yang hadir, persembahan nyanyian karaoke lagu raya dan diakhiri dengan sesi bergambar. Turut bersama di majlis tersebut ialah PKPgB Christus Buson daripada Ibu Pejabat Bahagian Unit Penyiasatan JBPM Negeri Sarawak.
PROGRAM MENGIBARKAN JALUR GEMILANG SEMPENA MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN 2011
Arahan mengibarkan Jalur Gemilang sempena menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 54 bermula pada 16 Ogos, 2011 hingga 16 September, 2011 di mana setiap premis dikehendaki mengibarkan Jalur Gemilang termasuklah Pejabat Kerajaan. Semangat patriotik melalui pengibaran dan pemasangan Jalur Gemilang merupakan satu bukti dan pendekatan kita sebagai rakyat Malaysia menghargai kemerdekaan yang telah dicapai. Balai Bomba dan Penyelamat Lawas tidak ketinggalan membuat pemasangan Jalur Gemilang di kawasan balai di samping dapat menceriakan kawasan balai itu sendiri.
PENYAMPAIAN KUIH RAYA 2011
Pada 23 Ogos, 2011 satu aktiviti diadakan iaitu penyampaian kuih raya daripada YS Ketua Zon Limbang PgB Anuar Shadzat Bin Merdzuki menyerahkan kepada YS Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Lawas PBK I Zaki Bin Hussin bagi mewakili semua anggota BBP Lawas. Menurut YS Ketua Zon, penyampaian kuih raya tersebut adalah khas kepada pasukan atau anggota yang bertugas pada hari raya pertama di mana ianya atas sumbangan dan peruntukan daripada Ibu Pejabat JBPM Negeri Sarawak yang disalurkan melalui pejabat zon.
AKTIVITI PERISMA BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT LAWAS 2011
Aktiviti sukaneka warga bomba Anjuran PERISMA BBP Lawas telah diadakan pada 29 dan 30 Julai, 2011 di mana beberapa acara dijalankan bagi memeriahkan lagi aktiviti tersebut antaranya ialah sukaneka kategori semua peringkat, badminton kategori wanita dan futsal untuk kategori lelaki. Objektif aktiviti ini adalah untuk mengeratkan lagi kemesraan dan kerjasama di kalangan warga bomba khususnya ahli PERISMA. Mengakhiri aktiviti tersebut ialah pada sebelah malam iaitu penyampai hadiah kepada pemenang dan meraikan ulang tahun kepada mereka yang lahir pada bulan Januari hingga Julai dengan disediakan kek khas untuk tujuan tersebut di samping jamuan makan malam yang disediakan oleh ahli PERISMA sendiri.
Langgan:
Catatan (Atom)